BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday 11 June 2009

Artikel - Kaunseling Nisa'

SABAR DIUJI



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Adalah menjadi lumrah bagi kita sebagai manusia menginginkan banyak perkara. Apa yang sudah kita miliki kadangkala tidak terasa nikmatnya. Inilah akibat kurangnya rasa syukur yang ada dalam diri kita. Apabila diberi nikmat kita mudah lupa, malah mahukan lebih lagi. Hakikatnya dunia ini ibarat air laut. Lagi diminum, bertambah haus.

Allah tidak menjanjikan kepada manusia nikmat kesenangan di dunia walaupun Allah tetap memberinya sepanjang hidup kita. Apa yang Allah janjikan ialah ujian demi ujian yang akan menemani kita.

Firman Allah s.w.t. "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." Surah Al-Ankabut; 2-3

Bagi setiap orang yang beriman Allah akan uji dengan keinginan hati dan keperluan hidup. Kita akan terasa diuji dengan begitu hebatnya apabila permintaan kita seolah-olah tidak dimakbulkan oleh Allah, sehingga kadang-kadang hampir-hampir menggugat keimanan. Sebenarnya ketika itulah kita akan dapat menilai sejauh mana iman kita adalah benar, atau hanya kulit sahaja, tiada isi. Bagaimana untuk kita mengesannya?

Orang yang benar imannya akan melalui tempoh ujian itu dengan sabar. Sememangnya sabar itu mudah untuk dikata, payah untuk dilaksana. Seseorang yang sabar tidak akan melenting, putus asa, kecewa mahupun merungut atas perkara yang tidak dimilikinya. Walau bagaimana pahit dirasai, imannya kukuh, hatinya tekad dan yakin bahawa ketentuan Allah itu adalah yang terbaik dan mengandungi hikmah yang indah di sebaliknya. Yakin bahawa Allah tak pernah salah, tidak menzalimi hambaNya dan Dia mempunyai cara tersendiri untuk memakbulkan permintaan hambaNya. Dengan penuh pengharapan seorang mukmin akan setia berdoa kepada Allah dan sabar menunggu Allah memakbulkan doanya. Allah telah berjanji dalam firmanNya;

“Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina."” Surah Al-Mu’min; 40

Ingatlah saudaraku, jika doa kita tidak dimakbulkan, cuba perhatikan amalan kita, mungkin banyak cacat celanya, mungkin banyak maksiat yang kita lakukan tanpa kita sedar. Sekiranya kita merasa kecewa, pujukla diri bahawa sabar itu indah. Para anbia’ telah diuji dengan lebih berat lagi. Yakini bahawa Allah akan makbulkan permintaan kita, hanya ianya mengikut perancanganNya yang di luar kuasa kita. Dan sekiranya tidak dimakbulkan, janganlah berburuk sangka kepada Allah yang Maha Pemberi, malah carilah hikmah yang tersembunyi itu. Sesungguhnya balasan baik akan dikurniakan kepada hamba yang bertaqwa.

Liana Soleha
Liana_rah@hotmail.com

0 Komen: