BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, 1 July 2009

Awas, 'Moday Blues'! - Artikel Nisa Julai 09

Awas, ‘Monday Blues’!



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini




“Arrghhh…Hari Isnin lagi. Cepat betul cuti hujung minggu berakhir. Rasanya seperti baru semalam hari Jumaat. Kenapalah perlu bekerja? Kenapa sesetengah orang tak bekerja pun tetapi dapat hidup bermewah-mewahan? Kan senang kalau duit yang kerja untuk aku, bukan aku yang kerja untuk duit! Ya Allah, malasnyeee!!!”

Anda biasa mengeluh seperti itu? Jika tidak, syabas buat diri anda kerana anda terselamat dari penyakit ‘al-kasalu’ iaitu ke-M-A-L-A-S-an dan juga penyakit panjang angan-angan. Bagi yang pernah atau sering mengeluh sedemikian, tidak kiralah secara lisan mahupun dalam hati, berhati-hatilah kerana takut-takut apa yang dikerjakan sia-sia sahaja pada pandangan Allah s.w.t.

Sememangnya manusia secara fitrahnya sukakan hidup yang bersenang-lenang. Alangkah bagusnya jika memiliki sumber harta yang tidak akan kering selama-lamanya. Hakikatnya hidup di dunia bukan begitu caranya. Itu adalah cara hidup penghuni syurga Allah, yang Allah janjikan di Akhirat. Dan untuk meraih syurga bukannya mudah, saudaraku.

Rasulullah s.a.w. sendiri bekerja semasa hayat baginda. Dari kecil baginda bekerja sebagai penggembala kambing. Beliau tidak pernah menadah tangan meminta simpati orang untuk memberi sesuap makan. Kemudian apabila dewasa baginda berkecimpung di dalam bidang perniagaan pula dengan bekerja untuk Saidatina Khadijah r.a. sehinggalah baginda berkahwin dengan beliau. Begitu juga dengan para nabi sebelum baginda.

Para sahabat, setelah Allah janjikan syurga untuk mereka di Akhirat, tetap bekerja keras selama mereka hidup. Saidina Abu Bakar As-Siddiq ialah seorang tokoh perniagaan yang kaya dari kalangan Bani Quraisy. Saidina Uthman Bin Affan dan Abdul Rahman Bin Auf juga merupakan antara ahli perniagaan yang terunggul di Tanah Arab. Sebahagian besar dari harta yang mereka perolehi telah diinfaqkan ke jalan jihad fi sabilillah. Subhanallah, jika mereka yang dijanjikan syurga pun masih bekerja keras, mengapa tidak kita?

Mari sama-sama kita renungi hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mewajibkan kepada kamu berusaha (bekerja), oleh sebab itu hendaklah kamu bersifat rajin berusaha.” (Riwayat At-Tabrani)

Orang yang berusaha mendapatkan rezeki dengan cara yang halal bukan sahaja akan mendapat keupayaan untuk menampung keperluan diri, malah Allah s.w.t. turut mengasihi dan memuliakannya. Hadis ini yang diriwayatkan At-Tabrani bermaksud, “Sesiapa yang pada petang hari berasa letih dan penat kerana berusaha dan bekerja mencari nafkah halal dengan kedua-dua tangannya sendiri, maka segala dosanya diampuni Allah.”

Walau bagaimanapun, jika kita tidak ikhlas atau bekerja dengan separuh hati dan merungut, maka akan hilanglah kemuliaan yang Allah kurniakan serta berkuranglah pahala dari pekerjaan itu. Yang hanya kita perolehi hanyalah penat lelah dan harta yang mungkin telah kurang keberkatannya.

Oleh itu para sahabat sekelian, mari kita amalkan doa yang diajar oleh Rasulullah, “Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu daripada kegelisahan dan dukacita, dari kelemahan dan kemalasan, dari sifat pengecut dan bakhil dan daripada bebanan hutang.” (Riwayat Abu Daud)

Bekerjalah dengan penuh beramanah dan keikhlasan, selagi Allah masih mengizinkan kita menggunakan segala kudrat yang ada. Suatu hari nanti jika ditakdirkan Allah menarik semula nikmat sihat dan kecerdasan, jangan pula menyesal kerana tidak memanfaatkan semua itu dahulu. Buang perasaan cemburu terhadap kesenangan orang lain dan jauhilah sikap ber’kalau-kalau’ kerana dari Abi Hurairah ra, katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam): Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah kamu mendapatkan apa yang mendatangkan manfaat bagi kamu, dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu lemah, dan sekiranya suatu (musibah) menimpa kamu maka janganlah kamu mengatakan: Kalau saya melakukan itu (dulu) sudah tentu saya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah: (Ini adalah) takdir Allah, Dia berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya “KALAU” membuka amalan syaitan.
(Hadis Riwayat Muslim)



Liana Soleha (Pendidik)
Liana_rah@hotmail.com

0 Komen: